Pengalaman Di Kolej

 

Sumber: Pinterest

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua hadirin.

Pada hari ini saya ingin menceritakan tentang pengalaman saya ketika berada di kolej. Selepas mendapat keputusan peperiksaan STPM pada tahun 2019, saya mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran ke program Ijazah Sarjana Muda. Pada mulanya, saya buntu kerana tidak tahu untuk memilih jurusan apa dalam bidang ijazah ini tetapi atas nasihat dan dorongan daripada keluarga dan guru-guru tingkatan 6 saya, mereka menasihati saya agar memilih jurusan yang saya minati. Akhirnya, saya telah membuat permohonan UPU dengan memilih beberapa kursus yang saya minati. 

Beberapa bulan kemudian, waktu yang ditunggu-tunggu telah pun tiba iaitu semakan keputusan UPU. Pada masa itu juga, perasaan takut, berdebar, gelisah dan sebagainya mula menghantui diri kerana saya takut saya tidak berjaya mendapat tawaran ke universiti. Pasti saya akan sedih dan kecewa jika saya tidak layak untuk melanjutkan pelajaran dalam program ijazah ini. Namun, saya tetap kuatkan semangat saya dengan melayari ke laman web portal rasmi UPU untuk membuat semakan dan mental dan fizikal saya juga sudah bersedia sekiranya saya tidak berjaya. Saya meminta tolong kakak saya untuk membuat semakan UPU tersebut. Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT akhirnya doa saya termakbul kerana saya ditawarkan untuk program Bacelor Kesusasteraan Melayu di Universiti Putra Malaysia. Pada masa itu, saya tidak dapat menahan lagi air mata kegembiraan saya. Saya memaklumkan berita gembira ini kepada mak dan ayah saya.

Pada hari pendaftaran masuk ke kolej, berat hati saya untuk berjauhan dengan keluarga kerana ini adalah kali pertama saya berjauhan dengan mereka dalam tempoh tiga tahun setengah. Namun, saya perlu kuatkan semangat dan berdikari sendiri. Jika tidak, sampai bila saya akan duduk di bawah ketiak mereka saja dan tidak mahu untuk hidup berdikari sendiri? Saya juga pasti bahawa lama-kelamaan saya akan terbiasa dengan situasi sebegini. Setelah selesai mendaftar dan mendapat kunci bilik, saya bergerak ke bilik saya dan berjumpa dengan rakan sebilik saya yang baru. Pada mulanya, saya berasa janggal untuk bergaul rapat dengan mereka kerana kami berlainan kursus. Namun begitu, sikap mereka yang ramah dan tidak sombong membuatkan saya selesa untuk berkawan dengan mereka. Sepanjang hari orientasi berlangsung selama 7 hari itu, kami sentiasa bergerak bersama kerana pada masa itu, kami masih lagi tidak mengenali rakan-rakan yang sama kursus.

Hari berganti hari, akhirnya saya tidak lagi berasa janggal apabila bersama mereka. Saya gembira kerana mempunyai rakan-rakan sebilik yang boleh bertolak ansur dan tidak mementingkan dirinya sendiri. Walaupun mereka berlainan kursus dengan saya kerana seorang mengambil kursus bahasa Perancis dan seorang lagi mengambil kursus bahasa Jerman, kami akan mengulangkaji pelajaran bersama-sama setiap hari di dalam bilik. Ada banyak lagi pengalaman ketika saya di kolej yang ingin dikongsikan tetapi saya berasa cukuplah sekadar pengalaman pertama saya menjejakkan kaki ke alam universiti sebagai mahasiswi di UPM ini. Sekian saja perkongsian daripada saya. Terima kasih.

Agama

 

Sumber: Pinterest

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua hadirin.

Pada hari ini saya ingin mengulas tentang agama. Sejak kebelakangan ini, pelbagai isu berkaitan agama terutamanya agama Islam dilaungkan dan diperjuangkan oleh masyarakat. Mereka memperjuangkan hak asasi dan kebebasan manusia bahawa amalan beragama dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya merupakan urusan individu tanpa memerlukan keterikatan dengan mana-mana autoriti dan institusi agama. Golongan liberal dalam masyarakat Islam di Malaysia pula telah mula mengkritik pelaksanaan undang-undang keluarga dan jenayah Islam yang mereka lihat bertentangan dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia dan bersifat diskriminatif terhadap wanita. Antara isu utama telah menimbulkan kontroversi adalah berkaitan hukuman oleh pihak berautoriti agama ke atas dosa-dosa atau kesalahan akhlak yang dianggap sebagai peribadi dan tidak menganggu hak orang lain atau menggugat keamanan negara.

Isu-isu sensitif dan bercanggah dengan ajaran Islam adalah seperti isu transgender atau lebih dikenali sebagai LGBT. LGBT secara keseluruhannya bermaksud lesbian, gay, bisexual & transgender. Transgender ini merupakan pilihan peribadi seseorang untuk berpakaian mengikut identiti yang dimahukan dalam menjalani kehidupannya. Fenomena LGBT semakin hari semakin menjadi isu utama yang mendorong wujudnya tingkah laku songsang dalam kalangan masyarakat di Malaysia, terutama dalam kalangan generasi muda. Budaya LGBT sememangnya menyimpang daripada norma masyarakat di Malaysia terutama apabila ia melibatkan isu berkaitan agama dan budaya di negara ini. Kewujudan LGBT ini mencetuskan kontroversi terutamanya apabila ia benar-benar menyimpang daripada ajaran agama Islam yang sebenar di mana Malaysia merupakan salah sebuah negara yang berpegang kepada ajaran Islam sebagai agama rasmi dan sudah termaktub di dalam perlembagaan persekutuan.

Agama Islam merupakan agama yang lengkap dan fleksibel. Oleh itu, selain daripada menyeru dan berdakwah kepada kebaikan dengan kasih sayang, Islam juga mempunyai prinsip menolak kejahatan dan kemungkaran dosa dalam kalangan masyarakat Muslim. Namun, kedua-dua prinsip ini perlu kepada pendekatan hikmah dan kemahiran dakwah yang baik untuk menyantuni dan menyebarkan kefahaman Islam kepada orang ramai. Dakwah secara hikmah bukan sekadar bererti melalui pendekatan kelembutan dan ajakan semata-mata, pendekatan hikmah bermaksud dakwah mengikut kesesuaian keadaan yang mana ada ketika dilakukan secara lembut dan santai seperti dakwah melalui akhlak, dan ada ketikanya perlu juga kepada penegasan dan tindakan kuasa undang-undang Islam. Sekian sahaja ulasan saya pada hari ini. Terima kasih.

Seni dan Budaya

 

Sumber: Pinterest


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat semua hadirin.

Pada hari ini saya ingin mengulas tentang seni dan budaya yang terdapat di negara kita. Seni dan warisan budaya pada dunia kini merupakan sesuatu yang amat bernilai dan memaparkan jati diri bangsa negara. Perbentukan jati diri bangsa amat berkait dengan warisan budaya seperti kebudayaan, kesenian yang dihasilkan oleh masyarakatnya sendiri. Masyarakat yang berbilang kaum telah membentuk kepelbagaian kebudayaan, kesenian dan kepercayaan di kumpul dalam satu acuan telah menghasilkan bentuk kehidupan yang harmonis dan stabil. Masing-masing antara mereka menghormati dan bertolak ansur terhadap warisan yang mereka miliki. Pihak kerajaan perlu melakukan tindakan yang sebaik boleh untuk memberi perlindungan terhadap seni dan warisan budaya yang bernilai. Warisan budaya yang dihasilkan oleh manusia atau masyarakat boleh mengalami masalah kehilangan, kepupusan dan kerosakan. Namun, pihak kerajaan perlu memberi tumpuan terhadap bencana alam dan binatang boleh menjejaskan dan merosak warisan budaya.

Manusia melakukan kerja-kerja yang berkaitan dengan ekonomi dan aktiviti-akviti sosial semasa usaha untuk memenuhi keperluan kehidupan. Ini menghasilkan bangunan, monumen, mercu tanda dan artifak seperti patung, busana, batu nesan dan manik yang di lihat dari sudut seni bina dan hiasan ukiran motif dan corak pada dinding dan tiang bangunan. Seni dan warisan terutamanya warisan budaya ketara di Malaysia tidak begitu menonjol pada peringkat awal kerana sebelum ini tiada ada usaha untuk memberi perhatian dan khususnya pemuliharaan terhadapnya. Bangunan-bangunan bersejarah, tapak bersejarah dibiarkan terbiar begitu sahaja tanpa ada pihak cuba memulihara. Terdapat beberapa bangunan bersejarah seperti  Kota A Fomosa, Bangunan Merah, Masjid Jamek Kuala Lumpur, Stesen Keretapi Kuala Lumpur dan Bangunan Sultan Abdul Samad.

Bangunan-bangunan bersejarah ini masih ada dan kekal menjadi tempat tumpuan orang ramai kerana seni bina dan ukiran yang terpapar pada permukaan dinding dan hiasan pada tiang-tiang bangunannya. Warisan budaya itu adalah satu identiti bangsa dan maruah negara kerana berkait rapat dengan kehidupan dan perwatakan masyarakatnya. Seni dan warisan budaya mencerminkan daya atau tahap pemikiran masyarakat dalam usaha menghasilkan inovasi untuk kepentingannya. Sekian saja ulasan saya pada hari ini. Terima kasih.

Makanan Tradisional: Nasi Ambeng

 

Sumber: Pinterest

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat semua hadirin.

Hari ini saya ingin menceritakan tentang makanan tradisional iaitu nasi ambeng dimana ianya cukup terkenal bagi masyarakat berketurunan Jawa di negeri Johor. Nasi ambeng ataupun ramai yang memanggilnya nasi ambang merupakan nasi putih yang ditambun di atas dulang beralaskan daun pisang. Di atas nasi itu pula terdapat pelbagai jenis lauk-pauk seperti sambal goreng, ayam masak kicap, serunding, ikan kering, bihun dan banyak lagi. Nasi ambeng ini selalunya dihidangkan semasa majlis kenduri ataupun majlis-majlis yang lain. Cara penghidangannya berbeza sedikit kerana ianya dihidangkan dan disajikan di dalam dulang yang membolehkan seramai empat hingga lima orang untuk makan bersama.

Nasi ambeng ini sama sahaja dengan nasi yang lain tetapi yang membezakannya adalah cara penyajiannya. Bagi mereka yang pertama kali mencuba nasi ambeng, mereka perlu berwaspada kerana jika tersalah cara memakannya pasti akan timbul perasaan malu kerana dipandang janggal oleh mereka yang tahu. Pada kebiasaannya, nasi ambeng tidak akan dimakan habis. Hal ini kerana, jamuan selepas selesai majlis kenduri itu adalah syarat dan selalunya seseorang itu akan menjamah sesuap dua sahaja. Selepas selesai menjamah nasi ambeng, mereka akan membahagikan nasi ambeng di dalam dulang tersebut secara sama rata untuk dibawa pulang ke rumah masing-masing.

Sehingga sekarang, nasi ambeng masih lagi menjadi makanan kegemaran saya. Di kampung saya, jika ada seseorang yang mengadakan majlis kenduri, pasti menu utama yang bakal dihidangkan adalah nasi ambeng di samping beberapa jenis kuih muih dan buah-buahan yang lain. Nasi ambeng juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim dengan makan bersama jiran tetangga di dalam satu dulang yang sama. Sekian sahaja perkongsian saya pada kali ini. Terima kasih.


Pengalaman Membaca Gantung Karya Nadia Khan

 

Sumber: Pinterest

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat semua hadirin sekalian.

Pada hari ini saya ingin menceritakan tentang pengalaman saya membaca buku bertajuk Gantung hasil karya daripada Nadia Khan. Buku ini diterbitkan pada tahun 2013 oleh Buku Fixi Sdn Bhd. Untuk pengetahuan semua, buku bertajuk Gantung ini tersenarai dalam buku yang paling laris dijual atau dipanggil bestseller di pasaran. Tambahan lagi, Gantung juga telah diadaptasi menjadi drama bersiri. Selain daripada Gantung, Nadia Khan juga menghasilkan beberapa buah buku bertajuk Kelabu ( 2011), Nikina (2019), Gantung 2 (2017) dan lain-lain. 

Sedikit pengenalan mengenai buku ini, Gantung mengisahkan tentang kisah hidup empat jejaka iaitu Gibbs, Ray, KJ dan Troll yang bersekolah di Sekolah Menengah Cemerlang Gemilang Terbilang (SMCGT). Mereka berempat orang ini merupakan rakan karib dan amat popular di sekolahnya disebabkan oleh rupa parasnya yang kacak. Akan tetapi, mereka mempunyai rekod disiplin yang buruk disekolah kerana selalu hadir ke kelas lewat, memarkir kenderaan di parkir guru, membuli dan banyak lagi. Mereka berempat juga telah mencipta Musketeer Code iaitu no all for one, just one for all yang bermaksud tidak membenarkan sesiapa di antara mereka untuk mempunyai teman wanita, tetapi untuk dipermainkan sahaja dibenarkan. Pada suatu hari, Musketeer Code mereka telah dilanggar oleh Gibbs dan perbalahan antara KJ, Troll, Ray dan Gibbs mula berlaku. Seorang gadis psiko bernama Deepa mencetuskan tragedi apabila dia mengantung dirinya di auditorium selepas mengalami kemurungan akibat dipermainkan oleh mereka berempat sehingga menjadi buah mulut di sekolah SMCGT. Selepas daripada kejadian ngeri tersebut, kehidupan Gibbs, KJ, Troll dan Ray terus menghantui mereka.

Secara jujurnya, novel ini mempunyai keunikan yang tersendiri dan digarap dengan sempurna. Dari halaman pertama hingga halaman yang terakhir dibaca, novel ini meninggalkan 1001 perasaan dan persoalan kepada saya. Maka, tidak hairanlah saya mengapa Gantung mendapat sambutan yang hangat di pasaran dan laris dijual sehingga telah dicetak berbelas kali. Keunikan novel ini terletak pada jalan ceritanya yang mempunyai banyak plot twist, berbelit belit dan penuh teka teki. Novel ini juga menyelitkan tentang realiti sebenar yang berlaku di alam persekolahan pada masa ini. 

Kesimpulannya, buku bertajuk Gantung karya Nadia Khan ini memang menarik perhatian saya dan membuatkan saya berasa teruja untuk membaca sambungan buku ini iaitu Gantung 2. Bagi penggemar novelyang bergenre thriller, saya menyarankan anda untuk membaca novel ini kerana ianya sangat menarik walaupun penggunaan bahasa yang digunakan lebih kepada bahasa slanga yang agak sedikit kasar dan celupar. Sekian sahaja perkongsian saya mengenai pengalaman saya membaca novel Gantung karya Nadia Khan ini. Terima kasih.

Pengalaman Kembara ke Pulau Pangkor

 


Sumber: Pinterest


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat semua hadirin. 

Pada hari ini saya ingin berkongsikan serba sedikit mengenai pengalaman saya mengembara ke sebuah pulau yang cukup indah nan permai. Pulau yang dimaksudkan itu adalah Pulau Pangkor. Ketika berada di Tingkatan 6 atas, pihak sekolah telah menganjurkan sebuah program yang bernama Program Permata Pintar yang dikhaskan untuk para pelajar Tingkatan 6 atas. Program tersebut bertempat di Pulau Pangkor. Semua pelajar Tingkatan 6 atas diwajibkan untuk menyertai program ini. Pada masa itu, saya dan juga rakan sekelas saya yang lain begitu teruja kerana dapat berpeluang untuk pergi ke Pulau Pangkor bersama-sama. Sebelum kami bertolak ke Pulau Pangkor, kesemua pelajar perlu menyerahkan surat kebenaran ibu bapa yang telah siap ditanda tangan oleh penjaga kita. Perkara sedemikian dilakukan adalah  untuk memudahkan pihak sekolah menghubungi penjaga sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diiingini.

Kami bertolak pergi ke Pulau Pangkor pada pukul 1.00 pagi. Kesemua pelajar dan guru pengiring diminta berkumpul di dewan besar untuk menunggu bas. Sebelum memulakan perjalanan, bacaan doa telah diadakan yang diketuai oleh seorang pelajar lelaki untuk memohon perlindungan dari Allah SWT daripada sebarang perkara-perkara yang buruk berlaku. Sepanjang perjalanan tersebut, saya dan rakan-rakan yang lain hanya tidur kerana waktu itu sudah tengah malam. Pada keesokan harinya, kami telah selamat sampai ke negeri Perak. Destinasi pertama yang kami tuju sebelum ke Pulau Pangkor ialah Pangkalan Lumut. Semasa di Pangkalan Lumut, kami diberi pendedahan mengenai model-model kapal milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta fungsinya dan kami juga diberi peluang untuk merasai pengalaman berada di atas kapal tersebut. Akan tetapi, kami tidak dibenarkan untuk menangkap gambar mahupun merakam video ketika berada di atas kapal.

Setelah selesai dengan lawatan di Pangkalan Lumut, kami semua meneruskan perjalanan ke jeti Lumut untuk menuju ke destinasi utama kami iaitu Pulau Pangkor dengan menaiki feri. Apabila sampai sahaja di jeti Pulau Pangkor, kami bergerak menuju ke tempat penginapan yang disediakan yang terletak di Teluk Nipah. Kami berada di Pulau Pangkor selama 3 hari 2 malam. Pelbagai aktiviti-aktiviti menarik yang telah kami sertai semasa berada di sana, antaranya ialah Program Mentor Mentee, bengkel menjawab soalan, aktiviti island hoping, snorkling, jungle trekking dan sebagainya. Akhirnya, secara tidak sedar sudah 3 hari 2 malam kami berada di Pulau Pangkor dan telah tiba masanya untuk pulang ke Johor. Perjalanan tersebut memakan masa selama 7 hingga 8 jam untuk pulang ke Johor dan Alhamdulillah kami selamat sampai tepat pada jam 12 tengah malam. Secara jujurnya, walaupun pengalaman ini sudah bertahun lamanya, namun ianya masih lagi segar diingatan saya dan saya tidak akan melupakan segala kenangan-kenangan manis ketika berada di Pulau Pangkor bersama rakan-rakan saya. Sekian sahaja perkongsian saya pada harini ini. Terima kasih.
   


Isu Semasa: Kes COVID-19 Di Malaysia

 



Sumber: Pinterest

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat semua hadirin. 

Pada hari ini saya ingin mengulas tentang isu semasa yang saban hari semakin meningkat iaitu kes COVID-19. COVID-19 atau Coronavirus adalah virus corona yang baru sahaja ditemui di China. Pada bulan November 2019, Kes COVID-19 pertama yang dapat dikenal pasti adalah dari Wuhan, China. Virus ini telah merebak secara meluas ke serata dunia dan Malaysia juga tidak terkecuali. Kes COVID-19 yang pertama dilaporkan di Malaysia adalah pada awal tahun 2020. Penularan wabak COVID-19 secara meluas telah meragut nyawa ribuan manusia dan juga turut melumpuhkan ekonomi global. Pekerja dari syarikat-syarikat penerbangan terutamanya seperti Malaysia Airlines, AirAsia, Malindo Air dan sebagainya terpaksa diberhentikan kerja disebabkan oleh pandemik ini. Perdana Menteri kita iaitu YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dijalankan bermula pada Mac, 2020.

Rakyat Malaysia tidak dibenarkan untuk keluar daripada rumah jika tiada urusan penting dan para pelajar juga perlu mengikuti kelas secara maya di rumah masing-masing. Tujuan utama PKP dilakukan adalah untuk mengurangi kadar jangkitan virus COVID-19 ini daripada terus merebak secara meluas. Setiap hari, pasti ada sahaja kes kematian diumumkan oleh Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan yang disebabkan oleh pandemik ini. Perkara ini menimbulkan pelbagai 1001 perasaan kepada masyarakat Malaysia. Peniaga-peniaga yang sebelum ini mencari sumber rezeki dengan berniaga di pasar tani dan sebagainya mengeluh panjang kerana tidak dibenarkan untuk berniaga di pasar tani sepanjang tempoh PKP dijalankan. Tambahan lagi, semasa PKP ini dijalankan juga, kerajaan telah mengeluarkan Standard Operating Procedure (SOP) yang perlu dipatuhi oleh rakyat untuk mencegah pandemik COVID-19. Individu-individu yang gagal mematuhi SOP pula akan dikenakan kompaun sebanyak RM1000.

Pada pendapat saya, usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan dalam memutuskan ikatan COVID-19 ini seharusnya diberikan pujian. Hal ini kerana, mereka telah bersiap siaga untuk melakukan sehabis baik dengan segala kawalan di kawasan yang diperketatkan serta beberapa bantuan yang diperlukan untuk rakyat. Sepanjang tempoh PKP dilaksanakan, kes COVID-19 yang pada awalnya semakin meningkat kini sudah berkurangan disebabkan oleh sikap rakyat Malaysia yang patuh kepada pematuhan SOP yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan. Walau bagaimanapun, masih ada segelintir masyarakat yang mengambil enteng terhadap pandemik ini dan mereka juga ingkar dengan peraturan-peraturan yang ditetapkan. Ada juga individu yang baru pulang dari luar negara tidak mengkuarantinkan dirinya selama 14 hari di rumah dan bersiar-siar di tempat awam. Sesungguhnya, perkara seperti itu sangat membimbangkan dan akan berlakunya penemuan kes kluster yang baharu dalam COVID-19 di negara ini.

Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai keperibadian diri yang baik, seseorang itu perlulah mematuhi segala arahan-arahan yang diperintahkan demi memutuskan rangkaian wabak COVID-19 daripada terus merebak di negara kita mahupun diserata dunia ini. Segala SOP mestilah dipatuhi dan menjadi seorang yang bertanggungjawab sekiranya keputusan swab test yang dilakukan itu menunjukkan positif COVID-19. Setiap perkara yang berlaku itu pastinya ada hikmah disebaliknya dan sebagai khalifah di muka bumi ini, kita mestilah redha dengan segala ujian yang diberi oleh-Nya.



Pengalaman Memasuki Kuliah BBK3410

Sumber: Pinterest

 

Assalamualaikum & salam sejahtera buat semua hadirin sekalian,

    Pada hari ini, saya akan menceritakan tentang pengalaman saya memasuki kuliah BBK3410. Disebabkan oleh kes wabak pandemik COVID-19 yang saban hari semakin meningkat, pihak universiti telah mengambil inisiatif untuk mengelakkan penyebaran wabak tersebut secara meluas dengan membatalkan kuliah secara bersemuka di kampus dan digantikan dengan kuliah secara atas talian. Walaupun pada mulanya agak sukar tetapi lama-kelamaan saya sudah terbiasa dengan kelas secara atas talian. Pada tarikh 20 Oktober 2020, saya dan rakan sekelas hadir ke kelas BBK3410 Penglahiran Bakat Kreatif dengan penuh debaran kerana takut talian internet yang tidak begitu bagus di kawasan masing-masing akan menggangu kami untuk kekal fokus dalam kuliah. Pada mulanya kuliah ini sepatutnya diajar oleh Dr. Nik Rafidah tetapi disebabkan beberapa hal yang tidak dapat dielakkan menyebabkan kami sekelas berhijrah ke kuliah Dr. Kamariah.

        Secara jujurnya, saya gembira apabila pensyarah yang mengajar saya adalah Dr. Kamariah kerana beliau merupakan seorang yang sangat suka berkarya sehingga berjaya mendapat beberapa anugerah. Pada hari pertama saya dan rakan-rakan hadir ke kelasnya secara maya, Dr. meminta kami mengenalkan diri masing-masing supaya beliau dapat mengenali pelajar-pelajarnya dan selepas itu Dr telah memberikan taklimat mengenai tugasan yang perlu dilakukan serta silibus yang bakal diajar olehnya sepanjang 14 minggu kuliah berlangsung. Kuliah Penglahiran Bakat Kreatif ini dapat memberi saya sedikit ruang untuk belajar mengenai kaedah yang sebetulnya untuk menonjolkan bakat dalam menghasilkan karya-karya kreatif seperti sajak, cerpen, novel, pantun dan sebagainya. Saya amat meminati bidang penulisan karya kreatif tetapi ada beberapa perkara yang perlu saya tambah baik untuk menghasilkan karya agung saya yang berkualiti dan penuh dengan ilmiah.

     Saya juga merasakan bahawa dengan adanya kuliah Penglahiran Bakat Kreatif seperti ini akan dapat melahirkan generasi yang kreatif sehingga dapat menghasilkan karya mereka sendiri. Oleh itu, harapan saya kepada diri sendiri adalah supaya hasil karya saya dapat diterbitkan ke Dewan Siswa ataupun di mana-mana sahaja untuk memberikan peluang kepada saya untuk menunjukkan bakat yang terpendam ini. Sekian sahaja daripada saya semoga pengalaman yang saya kongsikan ini dapat memberikan panduan dan manfaat kepada hadirin semua.


Terima kasih.