Kritikan Tentang Dunia Hiburan

 

Sumber: Pinterest

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua hadirin.


Pada hari ini saya ingin mengulas tentang dunia hiburan. Sebut saja mengenai hiburan, pasti ramai yang gemar dengan dunia hiburan pada masa ini terutamanya industri muzik. Muzik adalah medium pernyataan sosial yang sangat asas dalam kehidupan manusia. Kepentingan muzik dalam media dianggap satu proses pengkaryaan semulajadi yang berterusan dan hasil karyanya bersifat spontan. Muzik juga berfungsi sebagai suatu medium dan produk dalam sistem hiburan di sesebuah negara. Muzik juga adalah sebagai satu sistem industri di Malaysia kerana kewujudannya sebagai satu sistem sangat bergantung kepada sistem-sistem lain. Satu sistem yang tersusun boleh meletakkan muzik bukan saja sebagai sebuah industri yang boleh menyokong ekonomi negara tetapi, sebagai medium efektif dalam penyaluran mesej yang boleh membantu pembangunan sosial.

Di Malaysia, muzik adalah sebahagian daripada seni dalam budaya masyarakat berbilang bangsa dan etnik. Oleh itu, muzik yang salah satu fungsinya sebagai hiburan, sangat mudah diketengahkan dalam arus pembangunan industri media di Malaysia. Apabila radio diperkenalkan, muzik adalah unsur utama kandungan siarannya. Apabila radio menggunakan pelbagai bahasa untuk khalayak pelbagai etnik, sekali lagi jenis-jenis muzik dari pelbagai bahasa juga turut disiarkan. 

Oleh itu, media memegang peranan dan tanggungjawab yang besar kepada negara dan masyarakat dalam dunia hiburan di Malaysia. Media bukan lagi hanya dipandang sebagai alat hiburan semata-mata tetapi menjadi alat pembangunan yang membawa agenda dan pesanan. Media dan masyarakat tidak mampu lagi dipisahkan ekoran desakan perubahan masa dan teknologi yang menjadikan media massa amat penting dalam kehidupan. Justeru itu, media tidak ketinggalan dalam membawa maklumat mengenai sesuatu dasar demi membentuk satu suasana pembangunan sosial dan kesejahteraan masyarakat keseluruhannya. Penelitian kepada pemaparan dasar yang berkaitan dengan industri muzik adalah antara usaha dalam melihat perkembangan pembangunan industri berkenaan dalam konteks pembangunan sosial masyarakat. Sekian saja ulasan saya pada hari ini. Terima kasih.

Baju Kurung Johor

 

Sumber: Pinterest

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat semua hadirin sekalian.

Pada hari ini saya ingin berkongsikan tentang pakaian tradisional Johor iaitu disebut sebagai baju kurung Johor. Seperti yang kita semua sedia maklum, baju kurung adalah pakaian khas untuk masyarakat Melayu khususnya untuk kaum wanita. Baju kurung ini kebiasaannya dipakai ketika hari perayaan, majlis perkahwinan dan sebagainya. Ramai yang tidak tahu bahawa baju kurung Johor ini juga dikenali sebagai baju kurung Teluk Belanga. Rekaan baju kurung Johor yang unik akan membuatkan seseorang yang memperagakan baju tersebut akan kelihatan begitu sopan dan mempersonakan.

Apa yang membuatkan rekaan baju kurung Johor ini unik adalah kerana lehernya yang berkolar bulat dan disulami dengan jahitan tulang belut atau jahitan silang yang kelihatan seperti kalung. Semakin silang jahitan yang lebih kemas dan bersih, semakin kelihatan megah. Jahitan 'tulang belut' sering dipuji jika jaraknya lebih dekat dan lebih ketat. Pada era yang serba moden ini, amat sukar untuk mencari tukang jahit yang dapat menjahit tulang belut yang cantik dan kemas. Jika ada tukang jahit yang dapat menjahit jahitan tulang belut pada baju kurung Johor, pasti harga baju kurung tersebut mahal. Tambahan pula, jahitan belut mengambil masa yang lama untuk dijahit dan perlu memastikan jahitan tersebut perlu kemas dan cantik.

Baju kurung di Johor terkenal dengan tiga reka bentuk utamanya iaitu baju kurung pesak kekek iaitu potongan yang diptong secara lurus pada bahagian lengan yang panjang dan longgar, baju kurung pesak gantung, lebih cantik daripada baju kurung pesak kekek dan si pemakainya akan kelihatan lebih tinggi dan langsing dan baju kurung cekak musang. Sekian saja perkongsian saya pada hari ini, terima kasih.


Kritikan Tentang Drama Nur

 

Sumber: Pinterest

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua hadirin.

Pada hari ini saya ingin mengulas tentang drama Nur. Drama televisyen bertajuk Nur arahan Shahrulezad Mohameddin telah ditayangkan di TV3 slot Samarinda pada tahun 2018. Drama ini telah dibintangi oleh Syafiq Kyle sebagai Adam, Amyra Rosli sebagai Nur, Datuk Jalaluddin Hassan sebagai Datuk Ayah Haji Mukhsin, Fatimah Abu Bakar sebagai Datin Ibu Hajah Musalmah, Azhan Rani sebagai Hamadi, Noorkhiriah sebagai Aishah dan ramai lagi.

Drama Nur mengisahkan tentang anak seorang penceramah selebriti iaitu Adam, seorang ustaz muda yang baru pulang dari Jordan terkenal dan menempa nama di media sosial kerana ilmu dan rupa paras kacak yang dimilikinya. Untuk menggantikan tempat bapanya dalam bidang pendakwahan iaitu Datuk Ayah Haji Mukhsin, Adam melantik kakaknya Aishah sebagai pengurusnya. Dengan bantuan daripada kakaknya, pelbagai program televisyen mengundang Adam sebagai tetamu undangan. Tetapi sebelum
beliau menjejakkan langkah ke program televisyen, abang iparnya Hamadi mencadangkan kepada Adam supaya mencari pengalaman untuk berdepan dengan orang ramai supaya tidak mudah gugup apabila masuk ke dunia selebriti dengan memberi kuliah subuh di masjid milik ayahnya. Ketika sesi kuliah dan ceramah dari Adam, beliau selalu menerima soalan-soalan yang mencabar fikirannya tetapi tidak diketahui siapa pemilik soalan itu kerana soalan-soalan tersebut ditanya oleh jemaah masjid sebagai wakil dari seseorang yang misteri itu. Di kemudian hari, ketika Adam hendak masuk ke dalam masjid, beliau bertembung dengan seorang wanita yang sedang menulis sesuatu di atas kertas kecil. Wanita itu bergegas melarikan dirinya daripada Adam selepas Adam menyapa wanita tersebut. Akhirnya, Adam telah mengenali siapa pemilik soalan tersebut iaitu Nur, seorang pelacur yang ingin keluar dari kegelapan hidupnya dan ingin mendekatkan dirinya dengan Allah SWT. Setelah beberapa kali bersemuka, mereka mula jatuh cinta. Namun, kisah percintaan mereka mendapat tentangan hebat daripada keluarganya dan masyarakat di sekeliling. Pelbagai dugaan demi dugaan yang dahsyat ditempuhi oleh Nur dan juga Adam.

Dalam drama ini, pelbagai aspek moral telah diketengahkan seperti aspek keagamaan. Agama merupakan perkara yang sangat penting dan sangat disanjung tinggi oleh setiap penganutnya. Hal ini kerana, dengan adanya agama, seseorang itu akan memperoleh ilmu yang sangat dituntut. Seseorang individu itu harus berpegang teguh dengan al-Quran kerana kita suci ini mengandungi kebenaran yang hakiki dalam semua bidang. Al-Quran mengandungi nasihat dan teladan serta panduan berkaitan dengan cara bagaimana hendak mendirikan kehidupan yang lebih bermakna di dunia dan di akhirat yang diredhai oleh Allah SWT. Oleh itu, ilmu-ilmu yang terkandung di dalam al-Quran menjadi kekuatan dan pelajaran bagi setiap manusia supaya dapat digunakan ke arah kebaikan. Sebagai contoh, Nur sering bertanyakan soalan-soalan berkaitan dengan agama kepada Adam dengan mewakilkan seseorang untuk bertanyakan soalan yang ditulis oleh Nur sendiri.
 
 "Assalamualaikum Ustaz. Kenapa Allah SWT lahirkan golongan lorong hanya untuk dihantar ke neraka dan lahirkan golongan yang baik-baik hanya untuk dihantar ke syurga? Dimanakah adilnya Allah kalau ujian yang dihadapi manusia itu tidak sama beratnya?”

Perkara ini jelas menunjukkan bahawa setiap manusia berhak untuk memilih petunjuk dan beriman kepada Allah SWT tanpa mengira darjatnya semasa di dunia. Agama Islam tidak menghalang umatnya untuk terus bertakwa dan beristiqomah. Drama Nur menunjukkan bahawa pelbagai aspek moral dapat dilihat dalam drama ini yang boleh dijadikan teladan untuk masyarakat umum. Drama yang mempunyai unsur-unsur Islam seperti menjaga ibadah solat, mentaati dan menghormati ibu bapa, menutup aurat, membaca al-Quran, berdakwah dan sebagainya. Unsur-unsur ini mempunyai mesej yang positif kepada penonton sehingga mendapat sambutan yang luar biasa daripada penonton walaupun pada awalnya dikritik kerana menjatuhkan maruah seorang disebabkan kerana melanggan pelacur. Sekian sahaja ulasan saya pada hari ini berkaitan dengan drama Nur. Terima kasih.






Tokoh Agamawan


Sumber: Pinterest

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat semua hadirin.

Pada hari ini saya ingin menceritakan tentang tokoh agamawan. Al-Fadhil  Dr.  Zulkifli  Mohamad  Al-Bakri merupakan  tokoh  agamawan yang tidak asing lagi dalam dunia dakwah di Malaysia. Beliau sering muncul di kaca televisyen sama  ada  ketika  mengendalikan  slot  khas  dan  juga  sebagai  panel  tetamu  dalam pelbagai  rancangan  berbentuk  keagamaan. Setiap tokoh mempunyai sumbangan yang  tersendiri yamg mampu diberikan atau dicurahkan. Tidak terkecuali dengan al Fadhil Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang mana beliau juga banyak memberikan sumbangan sepanjang penglibatan dalam dakwah Islamiyyah.

Menurut Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, seorang pendakwah merupakan sesuatu yang amat mahal dan lontaran buah mulutnya menjadi kata-kata perangsang berguna  kepada  sesuatu  masyarakat.  Oleh  yang  demikian kata  Dr Zulkifli,  adab yang  perlu dimiliki  oleh setiap  pendakwah  terbahagi  kepada dua  iaitu  menjaga hubungan  dengan  Allah SWT dan kedua, yang paling utama adalah pencakapannya selari dengan perbuatan. Maka  atas  sandaran  itu,  beliau  memberitahu,  sekiranya  perbuatannya  bertentangan  dengan percakapan maka kesan dakwahnya akan jatuh dan tidak berkesan pada hatinya.

Antara keperibadian dan akhlak Dr. Zulkifili al-Bakri yang dapat adalah seperti sentiasa menulis dan gemar membaca. Beliau seorang yang kaya dengan pelbagai  idea dan cadangan  dalam menyelesaikan pelbagai permasalahan menurut hukum syara'. Sering kali isu yang berlaku di ulas oleh beliau mengikut garis panduan syara' bagi menyelesaikan kemelut permasalahan umat. Tidak  dapat  dinafikan  melalui  pelbagai  karya  penulisan beliau  menunjukkan  bahawa  beliau adalah seorang yang sangat kuat membaca di zaman mudanya dan juga kini. Sekian sahaja perkongsian daripada saya. Terima kasih.



Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

 

Anak Muda

 

Sumber: Pinterest

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua hadirin.

Pada hari ini saya ingin mengulas tentang anak muda. Topik kali ini amat dekat dengan diri saya memandangkan saya sendiri juga masih lagi berdarah muda. Kebanyakan anak muda pada hari ini lebih gemar untuk membicarakan kontroversi artis selebriti berbanding isu-isu politik dan sebagainya. Padahal isu-isu peribadi artis tidak akan menjadikan kehidupan kita lebih mudah, tapi berbicara tentang politik sekurang-kurangnya memberikan kita gambaran tentang isu-isu penting seperti harga makanan, peruntukan dan polisi terbaharu pemerintah. Golongan muda selalunya terus menyifatkan politik merupakan permainan orang tua atau sudah terlalu kotor dengan korupsi dan salah guna kuasa. 

Kita harus berusaha untuk memberi keyakinan kepada anak muda yang perubahan masih boleh berlaku melalui politik dan sedikit pengorbanan. Generasi yang didominasi oleh kumpulan “buta politik” tidak akan menjadikan negara kita lebih baik. Anak muda harus mula bersembang tentang keadaan politik negara di mana-mana; di kedai kopi, di panggung wayang atau ketika bersosial media. Jangan kita menjadi generasi yang hanya tahu merungut tentang masalah-masalah yang ada di negara ini namun jijik dengan punca-punca masalah itu. Hal ini kerana, generasi mudalah yang akan menjadi penentu topik perbicaraan rakyat di Internet, sama ada mereka mahu sibuk membincangkan isu jantina orang atau krisis pengangguran yang dihadapi negara. Apabila anak muda mula bersuara dengan “ilmu” maka ia akan memberi tekanan kepada pemerintah untuk menyelesaikan isu-isu anak muda. 

Selaku orang muda yang mula bosan dengan permainan politik di Malaysia, saya menyandarkan harapan kepada golongan baharu bukanlah sesuatu yang salah. Semoga generasi muda pada hari ini lebih cakna kepada keadaan politik kita, keadaan semakin mendesak untuk anak muda memiliki kesedaran politik. Sekian sahaja ulasan saya pada hari ini. Terima kasih.


Pengalaman Di Kampung

 

Sumber: Pinterest


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua hadirin.

Pada hari ini saya ingin berkongsikan tentang pengalaman saya di kampung. Saya yakin dan pasti bahawa semua orang amat menyukai akan suasana di kampung kerana ianya nyaman lagi indah. Saya sudah lama menetap dan membesar di kampung sejak dari kecil lagi. Oleh itu, saya tidak berasa hairan lagi dengan keadaan sekeliling di kampung ini. Sebaliknya, bagi mereka yang berada di kawasan bandar yang semakin pesat dengan pembangunan serba moden ini pasti begitu teruja apabila dapat berpeluang untuk pulang ke kampung halaman masing-masing. Saya amat menyukai suasana di kampung berbanding di bandar. Hal ini kerana, ketika di kampung, saya dapat melakukan pelbagai aktiviti yang boleh mendatangkan faedah kepada diri saya. Akan tetapi, apabila saya di bandar, pergerakan saya terbatas kerana adanya kes-kes jenayah yang berleluasa dan saya hanya terperap di dalam di dalam rumah sahaja.

Apabila menjelangnya Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha, semua sanak saudara belah ayah akan berkumpul di kampung 3 hari sebelum tibanya hari raya. Rumah dimana kami sekeluarga tinggal ini merupakan rumah pusaka jadi oleh kerana itu mereka akan berkumpul dan meraikan hari raya bersama-sama.  Suasana di rumah yang dulunya sunyi sepi kini menjadi riuh-rendah dengan kehadiran saudara mara saya. Masih jelas diingatan saya ketika saya di usia kanak-kanak. Pada ketika itu, allahyarham datuk dan allahyarhamah nenek saya masih lagi ada. Saya serta beberapa orang lagi sepupu saya sedang berlari-lari di dalam rumah dan membuat bising. Kami dimarahi teruk oleh datuk dan mengugut tidak akan membawa kami pergi ke pekan untuk membeli mainan sekiranya tidak duduk diam. Kami mula akur dengan ugutan datuk dan duduk bersila menghadap makanan yang terhidang untuk menunggu waktu berbuka puasa.

Sehingga sekarang, saya masih lagi tidak dapat melupakan kenangan-kenangan manis mahupun pahit semasa kecil ketika di kampung. Di rumah di mana saya sekeluarga sekarang ini, pelbagai memori-memori indah menjadi tiang seri rumah tersebut. Setiap pagi, bunyi ayam jantan berkokok dan burung-burung berkicauan begitu menenangkan pemikiran saya yang kusut buat seketika. Indah sungguh suasana di kampung halaman berbanding dengan suasana di kota. Sekian saja perkongsian saya pada hari ini. Terima kasih