Kritikan Tentang Dunia Hiburan

 

Sumber: Pinterest

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua hadirin.


Pada hari ini saya ingin mengulas tentang dunia hiburan. Sebut saja mengenai hiburan, pasti ramai yang gemar dengan dunia hiburan pada masa ini terutamanya industri muzik. Muzik adalah medium pernyataan sosial yang sangat asas dalam kehidupan manusia. Kepentingan muzik dalam media dianggap satu proses pengkaryaan semulajadi yang berterusan dan hasil karyanya bersifat spontan. Muzik juga berfungsi sebagai suatu medium dan produk dalam sistem hiburan di sesebuah negara. Muzik juga adalah sebagai satu sistem industri di Malaysia kerana kewujudannya sebagai satu sistem sangat bergantung kepada sistem-sistem lain. Satu sistem yang tersusun boleh meletakkan muzik bukan saja sebagai sebuah industri yang boleh menyokong ekonomi negara tetapi, sebagai medium efektif dalam penyaluran mesej yang boleh membantu pembangunan sosial.

Di Malaysia, muzik adalah sebahagian daripada seni dalam budaya masyarakat berbilang bangsa dan etnik. Oleh itu, muzik yang salah satu fungsinya sebagai hiburan, sangat mudah diketengahkan dalam arus pembangunan industri media di Malaysia. Apabila radio diperkenalkan, muzik adalah unsur utama kandungan siarannya. Apabila radio menggunakan pelbagai bahasa untuk khalayak pelbagai etnik, sekali lagi jenis-jenis muzik dari pelbagai bahasa juga turut disiarkan. 

Oleh itu, media memegang peranan dan tanggungjawab yang besar kepada negara dan masyarakat dalam dunia hiburan di Malaysia. Media bukan lagi hanya dipandang sebagai alat hiburan semata-mata tetapi menjadi alat pembangunan yang membawa agenda dan pesanan. Media dan masyarakat tidak mampu lagi dipisahkan ekoran desakan perubahan masa dan teknologi yang menjadikan media massa amat penting dalam kehidupan. Justeru itu, media tidak ketinggalan dalam membawa maklumat mengenai sesuatu dasar demi membentuk satu suasana pembangunan sosial dan kesejahteraan masyarakat keseluruhannya. Penelitian kepada pemaparan dasar yang berkaitan dengan industri muzik adalah antara usaha dalam melihat perkembangan pembangunan industri berkenaan dalam konteks pembangunan sosial masyarakat. Sekian saja ulasan saya pada hari ini. Terima kasih.