Kritikan Tentang Drama Nur

 

Sumber: Pinterest

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua hadirin.

Pada hari ini saya ingin mengulas tentang drama Nur. Drama televisyen bertajuk Nur arahan Shahrulezad Mohameddin telah ditayangkan di TV3 slot Samarinda pada tahun 2018. Drama ini telah dibintangi oleh Syafiq Kyle sebagai Adam, Amyra Rosli sebagai Nur, Datuk Jalaluddin Hassan sebagai Datuk Ayah Haji Mukhsin, Fatimah Abu Bakar sebagai Datin Ibu Hajah Musalmah, Azhan Rani sebagai Hamadi, Noorkhiriah sebagai Aishah dan ramai lagi.

Drama Nur mengisahkan tentang anak seorang penceramah selebriti iaitu Adam, seorang ustaz muda yang baru pulang dari Jordan terkenal dan menempa nama di media sosial kerana ilmu dan rupa paras kacak yang dimilikinya. Untuk menggantikan tempat bapanya dalam bidang pendakwahan iaitu Datuk Ayah Haji Mukhsin, Adam melantik kakaknya Aishah sebagai pengurusnya. Dengan bantuan daripada kakaknya, pelbagai program televisyen mengundang Adam sebagai tetamu undangan. Tetapi sebelum
beliau menjejakkan langkah ke program televisyen, abang iparnya Hamadi mencadangkan kepada Adam supaya mencari pengalaman untuk berdepan dengan orang ramai supaya tidak mudah gugup apabila masuk ke dunia selebriti dengan memberi kuliah subuh di masjid milik ayahnya. Ketika sesi kuliah dan ceramah dari Adam, beliau selalu menerima soalan-soalan yang mencabar fikirannya tetapi tidak diketahui siapa pemilik soalan itu kerana soalan-soalan tersebut ditanya oleh jemaah masjid sebagai wakil dari seseorang yang misteri itu. Di kemudian hari, ketika Adam hendak masuk ke dalam masjid, beliau bertembung dengan seorang wanita yang sedang menulis sesuatu di atas kertas kecil. Wanita itu bergegas melarikan dirinya daripada Adam selepas Adam menyapa wanita tersebut. Akhirnya, Adam telah mengenali siapa pemilik soalan tersebut iaitu Nur, seorang pelacur yang ingin keluar dari kegelapan hidupnya dan ingin mendekatkan dirinya dengan Allah SWT. Setelah beberapa kali bersemuka, mereka mula jatuh cinta. Namun, kisah percintaan mereka mendapat tentangan hebat daripada keluarganya dan masyarakat di sekeliling. Pelbagai dugaan demi dugaan yang dahsyat ditempuhi oleh Nur dan juga Adam.

Dalam drama ini, pelbagai aspek moral telah diketengahkan seperti aspek keagamaan. Agama merupakan perkara yang sangat penting dan sangat disanjung tinggi oleh setiap penganutnya. Hal ini kerana, dengan adanya agama, seseorang itu akan memperoleh ilmu yang sangat dituntut. Seseorang individu itu harus berpegang teguh dengan al-Quran kerana kita suci ini mengandungi kebenaran yang hakiki dalam semua bidang. Al-Quran mengandungi nasihat dan teladan serta panduan berkaitan dengan cara bagaimana hendak mendirikan kehidupan yang lebih bermakna di dunia dan di akhirat yang diredhai oleh Allah SWT. Oleh itu, ilmu-ilmu yang terkandung di dalam al-Quran menjadi kekuatan dan pelajaran bagi setiap manusia supaya dapat digunakan ke arah kebaikan. Sebagai contoh, Nur sering bertanyakan soalan-soalan berkaitan dengan agama kepada Adam dengan mewakilkan seseorang untuk bertanyakan soalan yang ditulis oleh Nur sendiri.
 
 "Assalamualaikum Ustaz. Kenapa Allah SWT lahirkan golongan lorong hanya untuk dihantar ke neraka dan lahirkan golongan yang baik-baik hanya untuk dihantar ke syurga? Dimanakah adilnya Allah kalau ujian yang dihadapi manusia itu tidak sama beratnya?”

Perkara ini jelas menunjukkan bahawa setiap manusia berhak untuk memilih petunjuk dan beriman kepada Allah SWT tanpa mengira darjatnya semasa di dunia. Agama Islam tidak menghalang umatnya untuk terus bertakwa dan beristiqomah. Drama Nur menunjukkan bahawa pelbagai aspek moral dapat dilihat dalam drama ini yang boleh dijadikan teladan untuk masyarakat umum. Drama yang mempunyai unsur-unsur Islam seperti menjaga ibadah solat, mentaati dan menghormati ibu bapa, menutup aurat, membaca al-Quran, berdakwah dan sebagainya. Unsur-unsur ini mempunyai mesej yang positif kepada penonton sehingga mendapat sambutan yang luar biasa daripada penonton walaupun pada awalnya dikritik kerana menjatuhkan maruah seorang disebabkan kerana melanggan pelacur. Sekian sahaja ulasan saya pada hari ini berkaitan dengan drama Nur. Terima kasih.






No comments:

Post a Comment