Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat semua hadirin.
Pada hari ini saya ingin mengulas tentang isu semasa yang saban hari semakin meningkat iaitu kes COVID-19. COVID-19 atau Coronavirus adalah virus corona yang baru sahaja ditemui di China. Pada bulan November 2019, Kes COVID-19 pertama yang dapat dikenal pasti adalah dari Wuhan, China. Virus ini telah merebak secara meluas ke serata dunia dan Malaysia juga tidak terkecuali. Kes COVID-19 yang pertama dilaporkan di Malaysia adalah pada awal tahun 2020. Penularan wabak COVID-19 secara meluas telah meragut nyawa ribuan manusia dan juga turut melumpuhkan ekonomi global. Pekerja dari syarikat-syarikat penerbangan terutamanya seperti Malaysia Airlines, AirAsia, Malindo Air dan sebagainya terpaksa diberhentikan kerja disebabkan oleh pandemik ini. Perdana Menteri kita iaitu YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dijalankan bermula pada Mac, 2020.
Rakyat Malaysia tidak dibenarkan untuk keluar daripada rumah jika tiada urusan penting dan para pelajar juga perlu mengikuti kelas secara maya di rumah masing-masing. Tujuan utama PKP dilakukan adalah untuk mengurangi kadar jangkitan virus COVID-19 ini daripada terus merebak secara meluas. Setiap hari, pasti ada sahaja kes kematian diumumkan oleh Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan yang disebabkan oleh pandemik ini. Perkara ini menimbulkan pelbagai 1001 perasaan kepada masyarakat Malaysia. Peniaga-peniaga yang sebelum ini mencari sumber rezeki dengan berniaga di pasar tani dan sebagainya mengeluh panjang kerana tidak dibenarkan untuk berniaga di pasar tani sepanjang tempoh PKP dijalankan. Tambahan lagi, semasa PKP ini dijalankan juga, kerajaan telah mengeluarkan Standard Operating Procedure (SOP) yang perlu dipatuhi oleh rakyat untuk mencegah pandemik COVID-19. Individu-individu yang gagal mematuhi SOP pula akan dikenakan kompaun sebanyak RM1000.
Pada pendapat saya, usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan dalam memutuskan ikatan COVID-19 ini seharusnya diberikan pujian. Hal ini kerana, mereka telah bersiap siaga untuk melakukan sehabis baik dengan segala kawalan di kawasan yang diperketatkan serta beberapa bantuan yang diperlukan untuk rakyat. Sepanjang tempoh PKP dilaksanakan, kes COVID-19 yang pada awalnya semakin meningkat kini sudah berkurangan disebabkan oleh sikap rakyat Malaysia yang patuh kepada pematuhan SOP yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan. Walau bagaimanapun, masih ada segelintir masyarakat yang mengambil enteng terhadap pandemik ini dan mereka juga ingkar dengan peraturan-peraturan yang ditetapkan. Ada juga individu yang baru pulang dari luar negara tidak mengkuarantinkan dirinya selama 14 hari di rumah dan bersiar-siar di tempat awam. Sesungguhnya, perkara seperti itu sangat membimbangkan dan akan berlakunya penemuan kes kluster yang baharu dalam COVID-19 di negara ini.
Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai keperibadian diri yang baik, seseorang itu perlulah mematuhi segala arahan-arahan yang diperintahkan demi memutuskan rangkaian wabak COVID-19 daripada terus merebak di negara kita mahupun diserata dunia ini. Segala SOP mestilah dipatuhi dan menjadi seorang yang bertanggungjawab sekiranya keputusan swab test yang dilakukan itu menunjukkan positif COVID-19. Setiap perkara yang berlaku itu pastinya ada hikmah disebaliknya dan sebagai khalifah di muka bumi ini, kita mestilah redha dengan segala ujian yang diberi oleh-Nya.

No comments:
Post a Comment