Sumber: Pinterest
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat semua hadirin.
Hari ini saya ingin menceritakan tentang makanan tradisional iaitu nasi ambeng dimana ianya cukup terkenal bagi masyarakat berketurunan Jawa di negeri Johor. Nasi ambeng ataupun ramai yang memanggilnya nasi ambang merupakan nasi putih yang ditambun di atas dulang beralaskan daun pisang. Di atas nasi itu pula terdapat pelbagai jenis lauk-pauk seperti sambal goreng, ayam masak kicap, serunding, ikan kering, bihun dan banyak lagi. Nasi ambeng ini selalunya dihidangkan semasa majlis kenduri ataupun majlis-majlis yang lain. Cara penghidangannya berbeza sedikit kerana ianya dihidangkan dan disajikan di dalam dulang yang membolehkan seramai empat hingga lima orang untuk makan bersama.
Nasi ambeng ini sama sahaja dengan nasi yang lain tetapi yang membezakannya adalah cara penyajiannya. Bagi mereka yang pertama kali mencuba nasi ambeng, mereka perlu berwaspada kerana jika tersalah cara memakannya pasti akan timbul perasaan malu kerana dipandang janggal oleh mereka yang tahu. Pada kebiasaannya, nasi ambeng tidak akan dimakan habis. Hal ini kerana, jamuan selepas selesai majlis kenduri itu adalah syarat dan selalunya seseorang itu akan menjamah sesuap dua sahaja. Selepas selesai menjamah nasi ambeng, mereka akan membahagikan nasi ambeng di dalam dulang tersebut secara sama rata untuk dibawa pulang ke rumah masing-masing.
Sehingga sekarang, nasi ambeng masih lagi menjadi makanan kegemaran saya. Di kampung saya, jika ada seseorang yang mengadakan majlis kenduri, pasti menu utama yang bakal dihidangkan adalah nasi ambeng di samping beberapa jenis kuih muih dan buah-buahan yang lain. Nasi ambeng juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim dengan makan bersama jiran tetangga di dalam satu dulang yang sama. Sekian sahaja perkongsian saya pada kali ini. Terima kasih.

No comments:
Post a Comment