Sumber: Pinterest
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat semua hadirin sekalian.
Pada hari ini saya ingin menceritakan tentang pengalaman saya membaca buku bertajuk Gantung hasil karya daripada Nadia Khan. Buku ini diterbitkan pada tahun 2013 oleh Buku Fixi Sdn Bhd. Untuk pengetahuan semua, buku bertajuk Gantung ini tersenarai dalam buku yang paling laris dijual atau dipanggil bestseller di pasaran. Tambahan lagi, Gantung juga telah diadaptasi menjadi drama bersiri. Selain daripada Gantung, Nadia Khan juga menghasilkan beberapa buah buku bertajuk Kelabu ( 2011), Nikina (2019), Gantung 2 (2017) dan lain-lain.
Sedikit pengenalan mengenai buku ini, Gantung mengisahkan tentang kisah hidup empat jejaka iaitu Gibbs, Ray, KJ dan Troll yang bersekolah di Sekolah Menengah Cemerlang Gemilang Terbilang (SMCGT). Mereka berempat orang ini merupakan rakan karib dan amat popular di sekolahnya disebabkan oleh rupa parasnya yang kacak. Akan tetapi, mereka mempunyai rekod disiplin yang buruk disekolah kerana selalu hadir ke kelas lewat, memarkir kenderaan di parkir guru, membuli dan banyak lagi. Mereka berempat juga telah mencipta Musketeer Code iaitu no all for one, just one for all yang bermaksud tidak membenarkan sesiapa di antara mereka untuk mempunyai teman wanita, tetapi untuk dipermainkan sahaja dibenarkan. Pada suatu hari, Musketeer Code mereka telah dilanggar oleh Gibbs dan perbalahan antara KJ, Troll, Ray dan Gibbs mula berlaku. Seorang gadis psiko bernama Deepa mencetuskan tragedi apabila dia mengantung dirinya di auditorium selepas mengalami kemurungan akibat dipermainkan oleh mereka berempat sehingga menjadi buah mulut di sekolah SMCGT. Selepas daripada kejadian ngeri tersebut, kehidupan Gibbs, KJ, Troll dan Ray terus menghantui mereka.
Secara jujurnya, novel ini mempunyai keunikan yang tersendiri dan digarap dengan sempurna. Dari halaman pertama hingga halaman yang terakhir dibaca, novel ini meninggalkan 1001 perasaan dan persoalan kepada saya. Maka, tidak hairanlah saya mengapa Gantung mendapat sambutan yang hangat di pasaran dan laris dijual sehingga telah dicetak berbelas kali. Keunikan novel ini terletak pada jalan ceritanya yang mempunyai banyak plot twist, berbelit belit dan penuh teka teki. Novel ini juga menyelitkan tentang realiti sebenar yang berlaku di alam persekolahan pada masa ini.
Kesimpulannya, buku bertajuk Gantung karya Nadia Khan ini memang menarik perhatian saya dan membuatkan saya berasa teruja untuk membaca sambungan buku ini iaitu Gantung 2. Bagi penggemar novelyang bergenre thriller, saya menyarankan anda untuk membaca novel ini kerana ianya sangat menarik walaupun penggunaan bahasa yang digunakan lebih kepada bahasa slanga yang agak sedikit kasar dan celupar. Sekian sahaja perkongsian saya mengenai pengalaman saya membaca novel Gantung karya Nadia Khan ini. Terima kasih.

No comments:
Post a Comment