Sumber: Pinterest
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat semua hadirin.
Pada hari ini saya ingin berkongsikan serba sedikit mengenai pengalaman saya mengembara ke sebuah pulau yang cukup indah nan permai. Pulau yang dimaksudkan itu adalah Pulau Pangkor. Ketika berada di Tingkatan 6 atas, pihak sekolah telah menganjurkan sebuah program yang bernama Program Permata Pintar yang dikhaskan untuk para pelajar Tingkatan 6 atas. Program tersebut bertempat di Pulau Pangkor. Semua pelajar Tingkatan 6 atas diwajibkan untuk menyertai program ini. Pada masa itu, saya dan juga rakan sekelas saya yang lain begitu teruja kerana dapat berpeluang untuk pergi ke Pulau Pangkor bersama-sama. Sebelum kami bertolak ke Pulau Pangkor, kesemua pelajar perlu menyerahkan surat kebenaran ibu bapa yang telah siap ditanda tangan oleh penjaga kita. Perkara sedemikian dilakukan adalah untuk memudahkan pihak sekolah menghubungi penjaga sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diiingini.
Kami bertolak pergi ke Pulau Pangkor pada pukul 1.00 pagi. Kesemua pelajar dan guru pengiring diminta berkumpul di dewan besar untuk menunggu bas. Sebelum memulakan perjalanan, bacaan doa telah diadakan yang diketuai oleh seorang pelajar lelaki untuk memohon perlindungan dari Allah SWT daripada sebarang perkara-perkara yang buruk berlaku. Sepanjang perjalanan tersebut, saya dan rakan-rakan yang lain hanya tidur kerana waktu itu sudah tengah malam. Pada keesokan harinya, kami telah selamat sampai ke negeri Perak. Destinasi pertama yang kami tuju sebelum ke Pulau Pangkor ialah Pangkalan Lumut. Semasa di Pangkalan Lumut, kami diberi pendedahan mengenai model-model kapal milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta fungsinya dan kami juga diberi peluang untuk merasai pengalaman berada di atas kapal tersebut. Akan tetapi, kami tidak dibenarkan untuk menangkap gambar mahupun merakam video ketika berada di atas kapal.
Setelah selesai dengan lawatan di Pangkalan Lumut, kami semua meneruskan perjalanan ke jeti Lumut untuk menuju ke destinasi utama kami iaitu Pulau Pangkor dengan menaiki feri. Apabila sampai sahaja di jeti Pulau Pangkor, kami bergerak menuju ke tempat penginapan yang disediakan yang terletak di Teluk Nipah. Kami berada di Pulau Pangkor selama 3 hari 2 malam. Pelbagai aktiviti-aktiviti menarik yang telah kami sertai semasa berada di sana, antaranya ialah Program Mentor Mentee, bengkel menjawab soalan, aktiviti island hoping, snorkling, jungle trekking dan sebagainya. Akhirnya, secara tidak sedar sudah 3 hari 2 malam kami berada di Pulau Pangkor dan telah tiba masanya untuk pulang ke Johor. Perjalanan tersebut memakan masa selama 7 hingga 8 jam untuk pulang ke Johor dan Alhamdulillah kami selamat sampai tepat pada jam 12 tengah malam. Secara jujurnya, walaupun pengalaman ini sudah bertahun lamanya, namun ianya masih lagi segar diingatan saya dan saya tidak akan melupakan segala kenangan-kenangan manis ketika berada di Pulau Pangkor bersama rakan-rakan saya. Sekian sahaja perkongsian saya pada harini ini. Terima kasih.

No comments:
Post a Comment