Sumber: Pinterest
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua hadirin.
Pada hari ini saya ingin menceritakan tentang pengalaman saya ketika berada di kolej. Selepas mendapat keputusan peperiksaan STPM pada tahun 2019, saya mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran ke program Ijazah Sarjana Muda. Pada mulanya, saya buntu kerana tidak tahu untuk memilih jurusan apa dalam bidang ijazah ini tetapi atas nasihat dan dorongan daripada keluarga dan guru-guru tingkatan 6 saya, mereka menasihati saya agar memilih jurusan yang saya minati. Akhirnya, saya telah membuat permohonan UPU dengan memilih beberapa kursus yang saya minati.
Beberapa bulan kemudian, waktu yang ditunggu-tunggu telah pun tiba iaitu semakan keputusan UPU. Pada masa itu juga, perasaan takut, berdebar, gelisah dan sebagainya mula menghantui diri kerana saya takut saya tidak berjaya mendapat tawaran ke universiti. Pasti saya akan sedih dan kecewa jika saya tidak layak untuk melanjutkan pelajaran dalam program ijazah ini. Namun, saya tetap kuatkan semangat saya dengan melayari ke laman web portal rasmi UPU untuk membuat semakan dan mental dan fizikal saya juga sudah bersedia sekiranya saya tidak berjaya. Saya meminta tolong kakak saya untuk membuat semakan UPU tersebut. Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT akhirnya doa saya termakbul kerana saya ditawarkan untuk program Bacelor Kesusasteraan Melayu di Universiti Putra Malaysia. Pada masa itu, saya tidak dapat menahan lagi air mata kegembiraan saya. Saya memaklumkan berita gembira ini kepada mak dan ayah saya.
Pada hari pendaftaran masuk ke kolej, berat hati saya untuk berjauhan dengan keluarga kerana ini adalah kali pertama saya berjauhan dengan mereka dalam tempoh tiga tahun setengah. Namun, saya perlu kuatkan semangat dan berdikari sendiri. Jika tidak, sampai bila saya akan duduk di bawah ketiak mereka saja dan tidak mahu untuk hidup berdikari sendiri? Saya juga pasti bahawa lama-kelamaan saya akan terbiasa dengan situasi sebegini. Setelah selesai mendaftar dan mendapat kunci bilik, saya bergerak ke bilik saya dan berjumpa dengan rakan sebilik saya yang baru. Pada mulanya, saya berasa janggal untuk bergaul rapat dengan mereka kerana kami berlainan kursus. Namun begitu, sikap mereka yang ramah dan tidak sombong membuatkan saya selesa untuk berkawan dengan mereka. Sepanjang hari orientasi berlangsung selama 7 hari itu, kami sentiasa bergerak bersama kerana pada masa itu, kami masih lagi tidak mengenali rakan-rakan yang sama kursus.
Hari berganti hari, akhirnya saya tidak lagi berasa janggal apabila bersama mereka. Saya gembira kerana mempunyai rakan-rakan sebilik yang boleh bertolak ansur dan tidak mementingkan dirinya sendiri. Walaupun mereka berlainan kursus dengan saya kerana seorang mengambil kursus bahasa Perancis dan seorang lagi mengambil kursus bahasa Jerman, kami akan mengulangkaji pelajaran bersama-sama setiap hari di dalam bilik. Ada banyak lagi pengalaman ketika saya di kolej yang ingin dikongsikan tetapi saya berasa cukuplah sekadar pengalaman pertama saya menjejakkan kaki ke alam universiti sebagai mahasiswi di UPM ini. Sekian saja perkongsian daripada saya. Terima kasih.

No comments:
Post a Comment