Pengalaman Memasuki Kuliah BBK3410

Sumber: Pinterest

 

Assalamualaikum & salam sejahtera buat semua hadirin sekalian,

    Pada hari ini, saya akan menceritakan tentang pengalaman saya memasuki kuliah BBK3410. Disebabkan oleh kes wabak pandemik COVID-19 yang saban hari semakin meningkat, pihak universiti telah mengambil inisiatif untuk mengelakkan penyebaran wabak tersebut secara meluas dengan membatalkan kuliah secara bersemuka di kampus dan digantikan dengan kuliah secara atas talian. Walaupun pada mulanya agak sukar tetapi lama-kelamaan saya sudah terbiasa dengan kelas secara atas talian. Pada tarikh 20 Oktober 2020, saya dan rakan sekelas hadir ke kelas BBK3410 Penglahiran Bakat Kreatif dengan penuh debaran kerana takut talian internet yang tidak begitu bagus di kawasan masing-masing akan menggangu kami untuk kekal fokus dalam kuliah. Pada mulanya kuliah ini sepatutnya diajar oleh Dr. Nik Rafidah tetapi disebabkan beberapa hal yang tidak dapat dielakkan menyebabkan kami sekelas berhijrah ke kuliah Dr. Kamariah.

        Secara jujurnya, saya gembira apabila pensyarah yang mengajar saya adalah Dr. Kamariah kerana beliau merupakan seorang yang sangat suka berkarya sehingga berjaya mendapat beberapa anugerah. Pada hari pertama saya dan rakan-rakan hadir ke kelasnya secara maya, Dr. meminta kami mengenalkan diri masing-masing supaya beliau dapat mengenali pelajar-pelajarnya dan selepas itu Dr telah memberikan taklimat mengenai tugasan yang perlu dilakukan serta silibus yang bakal diajar olehnya sepanjang 14 minggu kuliah berlangsung. Kuliah Penglahiran Bakat Kreatif ini dapat memberi saya sedikit ruang untuk belajar mengenai kaedah yang sebetulnya untuk menonjolkan bakat dalam menghasilkan karya-karya kreatif seperti sajak, cerpen, novel, pantun dan sebagainya. Saya amat meminati bidang penulisan karya kreatif tetapi ada beberapa perkara yang perlu saya tambah baik untuk menghasilkan karya agung saya yang berkualiti dan penuh dengan ilmiah.

     Saya juga merasakan bahawa dengan adanya kuliah Penglahiran Bakat Kreatif seperti ini akan dapat melahirkan generasi yang kreatif sehingga dapat menghasilkan karya mereka sendiri. Oleh itu, harapan saya kepada diri sendiri adalah supaya hasil karya saya dapat diterbitkan ke Dewan Siswa ataupun di mana-mana sahaja untuk memberikan peluang kepada saya untuk menunjukkan bakat yang terpendam ini. Sekian sahaja daripada saya semoga pengalaman yang saya kongsikan ini dapat memberikan panduan dan manfaat kepada hadirin semua.


Terima kasih.

    

1 comment: